Nasihat Semasa Jerebu:

  1. Semua pihak dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.
  2. Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727.
  3. Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selesema, asma, sakit mata, sakit jantung atau penyakit paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah buruk.
  4. Mereka yang di dalam kumpulan berisiko tinggi hendaklah sentiasa mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.
  5. Penutup hidung dan mulut (mask) hendaklah digunakan oleh semua penunggang motosikal, mereka yang bekerja di luar bangunan atau di tempat-tempat yang berhabuk dan juga mereka yang dikenalpasti sebagai kumpulan berisiko tinggi.
  6. Sejauh yang boleh, orang ramai dinasihatkan supaya tinggal di dalam bangunan atau rumah.
  7. Kurangkan aktiviti-aktiviti di luar rumah seperti sukan.
  8. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa membasuh muka dan bahagian kulit yang terdedah kepada jerebu dengan air bersih.
  9. Gunakan kemudahan hawa dingin sekiranya menaiki kenderaan anda.
  10. Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa meminum air yang banyak, sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.
  11. Sekiranya keadaan jerebu berterusan pada tahap berbahaya ,mereka yang berisiko tinggi dinasihatkan keluar dari kawasan tersebut.
  12. Orang ramai juga diminta untuk menyalakan lampu kenderaan semasa memandu apabila keadaan berjerebu dan jarak penglihatan berkurangan.